Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PEERS) UiTM Cawangan Kelantan dan Unit Kerjaya & Kaunseling , Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengadakan program “Eksplorasi Ilmu PEERS ke Universiti Sumatera Utara (USU) di Medan Indonesia” untuk memupuk semangat kerjasama dalam berpasukan dan melahirkan pelajar yang berwibawa, berdisiplin, berdedikasi dari segi mental dan fizikal sambil memperkenalkan UiTM Kelantan khususnya kepada masyarakat di Indonesia. Selain itu, program ini bertujuan mencari idea baru dan menimba pengalaman tentang cara belajar di negara luar. Program ini juga bertujuan menyelami dan mempelajari cara hidup serta budaya masyarakat luar di samping menjalinkan silaturrahim. Program ini berlangsung pada cuti semester yang lalu iaitu pada 23 April 2013 sehingga 27 April 2013 selama 4 hari 3 malam yang lalu. Seramai 28 orang yang turut serta ke program tersebut termasuk pelajar dari UiTM Cawangan Kelantan dan pegawai pengiring. Antara pegawai pengiring yang terlibat ialah 2 orang Pegawai Psikologi Kanan UiTM Cawangan Kelantan, 5 orang Pegawai Pelajaran Daerah dari Pasir Puteh dan seorang staf Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Program ini telah diadakan di Medan, Indonesia.
Pada pukul 12 tengah hari, kami semua selamat tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Polonial, Medan Indonesia. Kami disambut mesra
oleh Encik Berahim atau lebih mesra dipanggil dengan nama Pak Berahim sebagai
pemandu pelancong kami sepanjang kami berada di Indonesia. Beliau telah membawa
kami ke sebuah restoran untuk makan tengah hari.
Setelah
menjamu selera, kami meneruskan perjalanan menuju ke sebuah hotel yang terletak
di Parapat. Jarak perjalanan untuk sampai di sana memakan masa lebih kurang 5
atau 6 jam. Sepanjang perjalanan, beliau telah menceritakan tentang asal usul
penduduk di kawasan Parapat. Kebanyakkan penduduk di kawasan itu terdiri
daripada suku kaum orang Batak. Pada beberapa puluh tahun dahulu, orang batak
ini dikenali sebagai manusia yang memakan orang. Beliau juga menceritakan adat
perkahwinan serta adat kematian orang Batak tersebut. Sebelum kami sampai di
tempat penginapan kami, beliau telah membawa kami ke sebuah tempat yang menjual
pelbagai jenis kekacang yang terletak di Permatang Siantar.
Pada hari kedua, setelah selesai bersarapan kami dibawa oleh Pak Berahim
menuju ke Pulau Samosir dengan menaiki bot yang telah disediakan. Kami telah
dibawa melawat ke Kampung Tomok dan Kampung Ambarita. Pemandangan sepanjang
menuju ke kampung tersebut sangatlah mendamaikan. Sampai sahaja kami di Pulau
Samosir, kampung pertama yang kami lawati ialah kampung Tomok. Disini,beliau
telah menerangkan kepada kami asal usul suku kaum di perkampungan ini.
Kebanyakkan penduduk kampung disini terdiri daripada orang Batak juga. Beliau membawa kami ke tempat
pemancungan kepala bagi pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan. Beliau
menunjukkan kepada kami proses pemancungan itu dilakukan. Hukuman seperti ini
telah lama ditinggalkan oleh penduduk disini kerana pertukaran agama yang
dianuti oleh kebanyakkan penduduk. Kemudiannya, kami dibawa melawati Kampung
Ambarita yang merupakan salah satu kampung yang boleh dikatakan agak besar
keluasannya berbanding dengan Kampung Tomok.
Selesai sahaja kami melawati
kedua-dua buah kampung ini, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke
Berastagi. Berastagi merupakan sebuah kawasan yang bersuhu agak sejuk. Pak
Berahim memaklumkan kepada kami bahawa punca pendapatan penduduk di daerah ini
ialah pertanian. Hal ini kerana tanah di kawasan tersebut sangat subur dan apa
sahaja yang ditanam oleh mereka pasti membuahkan hasil. Kami kemudiannya
singgah di Air Terjun Sipiso-Piso dan Simarjarunjung Hill. Keadaan di sana
sangat sejuk dan mendamaikan. Kami selamat tiba di Hotel Green Garden untuk
istirehat dan bermalam di sana.
Pada hari ketiga,kami telah dibawa melawat ke Universiti Sumatera Utara
yang terletak di tengah-tengah kota Medan. Universiti Sumatera Utara merupakan
universiti yang menawarkan kursus perubatan kepada pelajarnya. Di hadapan
universiti ini terdapat Rumah Sakit iaitu hospital universiti yang sangat besar
yang menempatkan pelajar-pelajar praktikal mereka di sana. Pak Ibrahim, pemandu
pelancong kami memberitahu bahawa terdapat ramai pelajar Malaysia yang menuntut
di universiti ini dan oleh itu, di hadapan universiti ini terdapat pelbagai
kedai makan yang menyediakan makanan masakan Malaysia.
Setelah selesai sesi
bergambar di Universiti Sumatera Utara, kami dibawa ke Fashion Outlet iaitu
tempat membeli belah pakaian yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Pakaian di situ merupakan pakaian yang berjenama dan berkualiti untuk dijadikan
sebagai buah tangan kepada ahli keluarga. Setelah penat berjalan, kami makan tengahari di Restoran Istimewa Ayam Pop
yang menyediakan menu nasi padang. Pada pukul 2.00 petang, kami dibawa ke Pasar
Ikan, yang tekenal sebagai tempat menjual kain, telekung, tudung dan sebagainya
dengan harga yang sangat murah. Pasar Ikan ini merupakan tempat pekerjaan
majoriti penduduk kota Medan kerana kawasan ini dipenuhi dengan deretan
kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Kemudian, kami dibawa ke
Hotel Madani untuk berehat sebelum makan malam di Restoran Lubuk Idai pada
pukul 8.00 malam.
Pada hari
keempat, kami bersarapan di Hotel Madani dan bertolak agak lewat sedikit iaitu
pada pukul 11.30 pagi untuk mengemas barang-barang sebelum bertolak pulang ke
Malaysia. Kemudian, kami terus kembali ke Pasar Ikan semula kerana segelintir
dari kami ada yang tidak sempat untuk membeli belah. Setelah makan tengahari
kami dibawa ke Medan Mall sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Polonial, Medan pada pukul 5.00 petang. Penerbangan kami dijangka berlepas ke
Pulau Pinang pada pukul 7.30 petang dan penerbangan ini mengambil masa
kira-kira 45 minit. Tepat jam 8.15 malam kami sampai di Lapangan Terbang Bayan
Lepas, Pulau Pinang dan terus menaiki bas ke UiTM Cawangan Kelantan. Melalui program ini, para peserta yang terlibat telah
menimba banyak pengalaman daripada negara luar dan kami berharap agar kami
dapat melaksanakan aktiviti yang kami anjurkan dengan lebih efektif justeru
memberi kesan yang mendalam di UiTM Cawangan Kelantan. Program ini juga dapat
membentuk sifat kepimpinan para peserta dalam menjalankan aktiviti pada masa
hadapan dan lebih berdaya saing dalam apa jua cabaran serta rintangan di era
dunia global masa kini.